Sabtu, 18 April 2020

Kisah Seram - Pulangnya Roh

Wawan Setiawan Tirta

 Pulangnya Roh Setelah Meninggal 100 Hari Untuk Menuntut Bela

Assalam mu'alaikum,

Saya hanya mahu dikenali sebagai 'Mann' saja. Kisah yang ingin saya berkongsi dan ketengahkan bersama adalah kisah benar yang berlaku kira-kira 20 tahun yang lalu yang tidak akan dapat saya lupakan sepanjang hayat saya. Kisah ini mengisahkan tentang seorang teman saya yang amat gemar mengamalkan ilmu perubatan kebatinan. Lebih kurang 20 tahun yang lalu, saya mempunyai teman rapat yang telah saya anggap seperti adik beradik sendiri. Beliau amat gemar sekali tentang alam mistik dan perubatan kebatinan.

Pada suatu hari, teman saya yang saya gelar sebagai 'R' sahaja, telah diundang oleh salah seorang teman kami untuk mengubati ibu beliau yang dipercayai dibuat orang. Ibu kepada teman kami telah dibuat oleh orang supaya beliau tidak dapat tidur. Beliau telah menderita kerana tidak tidur selama lebih 20 tahun. Telah banyak pakar yang ditemu dan diusahakan untuk mengubati beliau, tetapi kesemuanya tidak berjaya, malah sesiapa sahaja yang mengubati beliau akan diganggu seteruk-teruknya. Ada yang menjadi sakit, ataupun diganggu seperti dikencingkan oleh jin yang mendamping ibu teman kami. Ada juga pakar yang menemui ajal kerana diganggu. Jin yang merasuk ke dalam jasad ibu teman kami pernah berkata, "Sesiapa sahaja yang cuba mengubati beliau, akan diganggu atau menjadi sakit..."

Pada suatu hari, teman saya 'R' telah mengubati beliau, Alhamdulillah ibu teman kami dapat tidur setelah 20 lebih tahun dan beliau amat gembira. Malangnya, kegembiraannya hanya bertahan lebih kurang seminggu sahaja. Teman saya 'R' telah mendapatkan nasihat dari guru beliau. Tetapi telah diberi amaran oleh guru beliau yang beliau sebenarnya telah membuat pesakit itu lebih mudarat. Guru 'R' mengatakan, bahawa pesakit yang diubati itu bakal bertemu ajal sekiranya tidak berhati2 kerana semangat pesakit itu amat lemah.
Setelah seminggu ibu teman kami dapat tidur, dengan tidak semena-menanya beliau telah dirasuk oleh jin yang membuat beliau sakit. Jin itu telah mengatakan "Aku telah dikalahkan, tetapi aku akan membuat dengan cara yang lain agar pesakit itu akan menjadi lebih merana dan membuat keluarga menjadi menyesal..." Pada malamnya, ibu teman kami telah dirasuk dan terjun diri dari tingkat 6 dapur rumah beliau. Beliau tidak dapat diselamatkan. Sebelum beliau terjun, beliau berkata, "Aku akan tuntut bela dan datang untuk mengganggu kamu!", khususnya teman saya 'R'.
Genap 100 hari setelah meninggalnya ibu teman kami, sewaktu kami sedang tidur beramai-ramai di rumah saya dan tepat pada jam 12:45 tengah malam, saya amat terperanjat sekali melihat sesosok tubuh, sepertinya wanita berambut panjang dan berbaju putih menembusi pintu rumah saya dengan diikuti oleh suara perempuan menangis. (Mahkluk itu serupa seperti ibu teman kami yang diubati itu.)
Kerana amat terperanjat. saya menjadi bacul dan memeluk isteri saya yang sedang tidur. Di dalam keadaan pejamkan mata kerana takut, saya meneriak memanggil nama 'R' untuk bangun. Saya terperasan mahkluk wanita itu berada di depan 'R' yang sedang tidur lenyak. Beliau terasa diri beliau telah dicekik oleh makhluk itu. Setelah mendengar teriakan saya, beliau tersedar dan menceritakan bahawa beliau terasa beliau bermimpi dicekik oleh makhluk itu. Saya mengatakan itu mimpi tetapi hakikatnya, ia sesuatu yang benar, kerana saya melihat kejadian itu.

Sandainya saya tidak sedar dan teriak, mungkin teman saya 'R' tidak bangun dari tidurnya dan mungkin mati kerana tidak dapat bernafas kerana dicekik oleh makhluk itu. Kejadian ini telah menghantui kami sehingga kini dan kami amat fobia sekali apabila mendengar nama arwah ibu teman kami.

Sekian terima kasih.

(Pengajaran: jika mata kail (Ilmu) hanya sejengkal, jangan sekali-kali menduga lautan dalam. Yang mudarat adalah orang yang terdekat atau diri sendiri.)
TERIMA KASIH MANN!!!